Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Ketahui 6 Peribahasa Ini Yang Sering Disalah Erti

today29 October 2020

Background

Peribahasa merupakan bahasa kiasan untuk merujuk kepada sesuatu situasi atau sifat. Orang zaman dahulu memang dikenali dengan ayat-ayat kiasan yang kadang-kadang sampai orang zaman moden ni tak faham. Kalau melihat pada sajak melayu lama pun, memang jauh beza dengan lenggok percakapan kita sekarang.

Ada pun peribahasa yang kita faham akan maksudnya, tetapi kiasannya di salah erti sehinggalah ke hari ini. Kalau siapa yang lahir tahun 80-an dan 90-an tu, mungkin peribahasa yang salah inilah yang diajar di sekolah. Jadi, berikut merupakan peribahasa yang disalah erti oleh masyarakat kita yang pernah juga dibincangkan di channel Youtube Ajar.

Melepaskan Batuk Di Tangga

Bila kita baca peribahasa ni, apa yang kita faham mestilah situasi di mana seseorang yang melepaskan batuk di tangga. Peribahasa ni membawa maksud sesuatu pekerjaan yang tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh. Buat kerja sambil lewa orang kata. Bila difikirkan semula, kenapa batuk di tangga dikaitkan dengan kerja yang tidak bersungguh-sungguh? Macam tak ada kaitan. Rupanya bila diselidik semula terdapat kesalahan kepada ejaan β€˜batuk’ itu sendiri. Peribahasa yang sebetulnya adalah ‘melepaskan batok di tangga.’ Batok merupakan sejenis gayung yang diperbuat dari tempurung kelapa.

Image via:http://indahnyabahasamelayu.weebly.com/

Orang zaman dahulu akan meletakkan tempayan air beserta gayung di tepi tangga rumah untuk mencuci kaki sebelum masuk ke rumah. Jadi bila gayung yang sepatutnya diletakkan semula di tempayan air itu dilepaskan di tangga, terjadi lah peribahasa ini yang menunjukkan kerja yang dibuat tidak bersungguh-sungguh atau kerja separuh jalan. Kesalahan ejaan ini mungkin berlaku disebabkan zaman moden kita yang dah tak pakai batok lagi, jadi ia menjadi satu benda yang asing.

Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi

Ini antara peribahasa yang famous dan paling kerap kita gunakan untuk menggambarkan seseorang yang tidak boleh diharap. Kesalahan yang ada pada peribahasa ini adalah dari segi ejaan. Ejaan yang sebetulnya adalah ‘pegar’ dan bukan pagar. Pagar yang tidak bernyawa macam mana nak makan padi.

Image via:https://www.pikist.com/

Pegar pula, atau nama saintifiknya Lophura Ignita, merupakan spesies burung liar yang digunakan oleh pesawah zaman dahulu untuk menjaga tanaman padi daripada haiwan perosak. Tanpa tak diketahui, rupanya burung pegar ini juga gemar memakan padi. Kesilapan ejaan itu berlaku disebabkan kekeliruan terjemahan tulisan jawi kepada rumi.

Mata Keranjang

Keranjang merupakan sebuah bakul yang dianyam dengan rotan. Kalau kita direct translate dia akan jadi ‘mata bakul rotan.’ Lagilah tak masuk akal sebab peribahasa ini membawa maksud seseorang yang pantang melihat perempuan cantik. Mungkin kawan-kawan kita ada yang macam ni, jenis pantang nampak awek cun. Jadi apa kena mengena bakul rotan dengan perempuan cantik? Ini lagi satu peribahasa yang mempunyai kesalahan ejaan. Namun kesalahannya tak major, tetapi kesannya dia terus menukar makna perkataan. Yang sebetulnya adalah β€˜mata ke ranjang’. Terdapat jarak antara β€˜ke’ dan β€˜ranjang’.

Bila dibetulkan, baru lah make sense sebab ranjang bererti katil. Jadi nampak lah peribahasa ni nak tunjukkan dari pandangan mata seseorang dia akan terus terbayang untuk ke katil. Bahaya lah pula peribahasa ni!

Saling Tak Tumpah

Peribahasa ini bermaksud benda atau orang yang serupa atau tiada perbezaan. Tapi kebiasaannya kita akan guna untuk merujuk kepada dua orang yang nampak serupa. Sebenarnya ejaan yang betul adalah β€˜salin tak tumpah’. Ia disahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri. Salin juga bermaksud meniru, menekap dan mendua. Jadi lebih sesuai bila kita letakkan perkataan β€˜salin’ berbanding β€˜saling’.

Merah Padam

Merah padam selalu diertikan sebagai warna merah-kemerahan. Tapi perkataan padam itu sendiri seperti membawa maksud merah yang semakin padam menjadi gelap. Sebenarnya peribahasa ini juga melalui kesilapan terjemahan dari tulisan jawi ke rumi.

Image via:https://id.wikipedia.org/

Perkataan yang sebetulnya adalah β€˜padma’ dan bukan β€˜padam’. Padma merupakan sejenis bunga teratai yang mempunyai warna merah-kemerahan. Ia juga dikenali sebagai teratai merah. Kira warna blushing dekat muka tu warna bunga teratai ni lah. Tapi mungkin kalau muka orang tu merah sebab tengah marah kita boleh guna merah padam.

Menjolok Mata

β€˜Dilarang memakai pakaian yang menjolok mata’. Kalau kita lihat pada ayat tu kita faham lah kan apa yang cuba disampaikan. Cuma menurut DBP, menjolok bermaksud menusuk atau memasukkan sesuatu ke dalam lubang seperti menjolok lubang hidung. Perkataan yang sebetulnya adalah β€˜mencolok’ yang dijelaskan oleh DBP sebagai perbuatan atau perkara yang menyakitkan hati, memberi malu dan membangkitkan marah orang yang melihat. Walaupun β€˜menjolok mata’ seperti mengambarkan keadaan mata kita yang sakit seperti dicucuk-cucuk, peribahasa yang sebetulnya adalah β€˜mencolok mata’. 

Baca juga artikel menarik lain:

5 Bandar Tidak Lagi Berpenghuni…

Ini 5 Letusan Gunung Berapi Paling Seram Dalam Sejarah

Written by: Hamka Rosli


Previous post

Post comments (0)

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *